Perutusan Aidiladha 1437H

Bismillahirrahmannirrahim.

Allahu akbar, Allahu akbar, laa ilaaha illallah wallahu akbar.
Allahu akbar walillahil hamd.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah penguasa sekalian alam dan yang telah menurunkan segala nikmat kepada mahlukNya samaada di Langit atau Bumi. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Suasana hari-hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Aidiladha ini hendaklah dihiasi dengan amalan zikir, takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutamanya selepas setiap solat fardu.

Pada hari ini, jutaan rakyat manusia berkumpul di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 iaitu Ibadah Haji. Manakala di seluruh dunia pula, seluruh umat Islam merayakan Hari Raya Aidiladha dengan Solat Hari Raya dan Ibadah Korban. Semoga ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

Ayat ke-37 Surah Al-Hajj yang bermaksud “Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu. Demikianlah Dia menundukkannya untukmu agar kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang Dia berikan kepadamu. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”. Jelaslah bahawa di akhir nanti, Ketaqwaan diri yang diukur oleh Allah.

Tahun demi tahun takbir disebut dan Aidiladha disambut namun adakah kita sudah memahami dengan benar manifestasi Hari Raya Korban terhadap perjuangan dalam hidup kita? Bagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang menjangkaui akal minda kita. Bagaimana perintah Allah telah dijalankan dengan hati yang Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT tanpa kompromi. Bandingkan dengan hidup kita yang masih lagi teragak-agak dan tidak sanggup untuk berjuang di jalan Allah.

Semoga dengan kedatangan Aidiladha ini semangat untuk berkorban ke arah kebaikan di jalan Allah akan mekar dalam diri kita. Terutama kepada semua rakan-rakan yang berada di Jepun. Bantulah Islam di bumi Jepun ini untuk berkembang di samping bermujahadah di medan ilmu dengan keikhlasan kerana Allah SWT. Pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha yang berterusan untuk mendekatkan diri kepada-Nya pasti akan mendapat ganjaran yang tinggi di sisinya.

InshaAllah kami di IPIJ membuka peluang dan ruang untuk kita sama-sama berdakwah di Bumi Sakura. Akhir kata, Salam Aidiladha 1437H.

 

Mohammadfaroq Bin Hasan,
Presiden Ikatan Persaudaraan Islam Jepun 2015/2016.

14316774_1138668232837770_8657247079178530801_n

Post Author: ipijteknologi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *