“Hilang Sebuah Lagi Permata Ummah”

Dalam kita menyambut satu hari istimewa memperingati penubuhan Malaysia 53 tahun lalu, Malaysia juga telah mengalami suatu kehilangan yang sangat besar dengan pemergian seorang ulama yang hebat pada hari ini.

Pada hari Jumaat yang penuh berkat ini, hujan membasahi bumi Malaysia seperti menangisi pemergian Tuan Guru Dato Dr. Harun Din, seorang pemimpin yang istiqamah dalam perjuangannya, seorang ulama yang tinggi ilmunya dan indah akhlaknya.

Murabbi ummah ini telah pergi bertemu Rabbulalamin pada jam 10:10 pagi waktu Malaysia setelah mempunyai komplikasi jantung dan dimasukkan ke wad ICU di Hospital Stanford University, US.

Moga beliau ditempatkan bersama para solehin, para mujahidin dan para siddiqin. Kehilangan sebuah lagi permata yang berharga, yang banyak berkorban untuk ummah dengan ilmunya ini sudah tentu dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Namun kita yang hidup harus berusaha untuk meneruskan perjuangan beliau menegakkan Islam.

“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu sekali gus dari hamba-hambanya. Tetapi Allah menarik ilmu dengan ditarik (nyawa) para ulama’. Sehingga tiada orang yang berilmu untuk dijadikan pemimpin. Maka yang jahil dilantik menjadi pemimpin lantas mengeluarkan pandangan tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan”

[Hadith riwayat Bukhari]

Moga kita jadikan pemergian beliau ini suatu peringatan untuk terus gigih dan kuat lagi menjalankan perintah Allah dalam keadaan dunia penuh fitnah dan Allah menarik ulama seorang demi seorang daripada kita.

Pihak IPIJ ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Tuan Guru Dato’ Dr. Harun Din atas kehilangan yang dialami.

Kami juga mengajak untuk kita yang berada di Jepun ini untuk melakukan solat jenazah ghaib sebagai penghormatan terakhir buat permata ummah ini. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali). “

Post Author: ipijteknologi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *