Friday Reminder #4

[CINTA ADALAH TANGGUNGJAWAB]

Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah sallallahualaihi wasallam sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.

Di dalam surah Aali-Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan-golongan yang layak bersama dengan Rasulullah sallallahualaihi wasallam;
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُواْ لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا اسْتَكَانُواْ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar.” (Aali-Imran ayat 146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi sallallahualaihi wasallam seperti berikut :
Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi sallallahualaihi wasallam adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi sallallahualaihi wasallam berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi sallallahualaihi wasallam sebagaimana ikrar para sahabat ((اذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا مَعَكُمْ مُقَاتِلُونَ))
Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu “Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam”.
Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi sallallahualaihi wasallam tidak sudi mengaku sebagai ummatnya.
إِذَا رَأَيْتَ أُمَّتِي تَهَابُ الظَّالِمَ أَنْ تَقُولَ لَهُ: إِنَّكَ ظَالِمٌ ، فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ
“Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka.” (Riwayat Tabarani)
Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah mencabar pendukung-pendukung agama Nabi agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi sallallahualaihi wasallam mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُواْ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Aali-Imran ayat 142)
وَلَقَدْ كُنتُمْ تَمَنَّوْنَ الْمَوْتَ مِن قَبْلِ أَن تَلْقَوْهُ فَقَدْ رَأَيْتُمُوهُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ
“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Aali-Imran ayat 143)

Golongan pencinta Nabi sallallahualaihi wasallam mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi sallallahualaihi wasallam. Ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi sallallahualaihi wasallam. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi sallallahualaihi wasallam dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda sallallahualaihi wasallam.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah sallallahualaihi wasallam adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda sallallahualaihi wasallam, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad sallallahualaihi wasallam, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda sallallahualaihi wasallam. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi sallallahualaihi wasallam. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi sallallahualaihi wasallam. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi sallallahualaihi wasallam.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi sallallahualaihi wasallam dengan penegasannya (mafhumnya), “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam ditinggalkan diseksa oleh kamu semua…” (Riwayat al-Bukhari)

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi sallallahualaihi wasallam adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda sallallahualaihi wasallam.

– Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad

14449847_1148203938550866_1821961300584219304_n

Post Author: ipijteknologi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *